Dr Jamilah: Patuhi etika pengendalian makanan, wajib apron cerah

Dr Jamilah Hashim
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 8: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengambil serius isu kebersihan makanan di premis-premis outlet makanan seperti restoran, gerai makan dan medan selera.

Pengarah JKN Sarawak, Dr Jamilah Hashim melalui kenyataan akhbar hari ini berkata Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Makanan akan sentiasa melaksanakan program dan aktiviti pemantauan keselamatan makanan.

Advertisement

“Ini merangkumi seluruh negeri Sarawak termasuk aktiviti penguatkuasaan ke atas kebersihan premis makanan secara bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa semua pengusaha premis makanan perlu memastikan setiap pengendali makanan wajib mendapatkan suntikan anti tifoid sepertimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983.

Di samping itu, tambah Dr Jamilah, pengusaha juga diingatkan supaya memastikan pengendali makanan menjalani latihan pengendali makanan dari sekolah latihan pengendali makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagaimana diwajibkan di bawah perundangan yang sama.

“Selain itu, pengendali makanan perlu mengamalkan kebersihan diri yang baik termasuk amalan mencuci tangan yang betul dan pengendalian makanan yang bersih dan selamat.

“Pengendali makanan juga hendaklah memakai pakaian pelindung yang betul dan bersesuaian seperti penutup kepala, apron yang berwarna cerah, penutup muka dan sarung tangan,” katanya.

Di bawah Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menyatakan pengendali makanan hendaklah memakai pakaian yang bersih, sesuai dan apron berwarna cerah.

Penetapan warna cerah bagi apron adalah bagi memudahkan pengesanan kesan kotoran.

Ujarnya lagi, pengendali Makanan yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983.

Orang awam disarankan menghubungi pihak JKNS jika terdapat sebarang pertanyaan atau aduan berhubung kebersihan dan keselamatan makanan dengan melayari laman sesawang http://fsq.moh.gov.my atau menghubungi Pejabat Kesihatan Bahagian yang berhampiran. — DayakDaily

Advertisement