Dr Hazland: Lembaran baharu landskap politik Sarawak dengan tertubuhnya GPS

Dr Hazland Abang Hipni

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 20: Kelulusan pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat petang semalam telah membuka lembaran baharu politik Sarawak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata selepas hampir lima bulan menunggu, akhirnya pendaftaran GPS telah diluluskan pada hari ini dan sekali gus membuka lembaran baharu kepada landskap politik Sarawak.


“Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu telah membuka lembaran baharu kepada politik Sarawak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Lulusnya pendaftaran GPS yang terdiri dari PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) membolehkan landskap politik Sarawak mula berubah dengan berteraskan anak tempatan Sarawak.

“Keputusan ini juga membolehkan GPS berusaha mengembalikan hak rakyat dan negeri Sarawak yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja dalam konteks Perlembagaan Malaysia,” katanya selepas diminta mengulas mengenai kelulusan pendaftaran GPS di sini semalam.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menegaskan GPS ditubuhkan bagi mempertahan dan mendapatkan kembali hak-hak Sarawak yang terhakis selama ini.

“Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini memberitahu bahawa kewujudan GPS bertujuan mendapatkan hak Sarawak yang terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sejak 55 tahun dahulu.

“Untuk itu, kita akan memastikan Sarawak memperoleh hak dalam membangunkan negeri ini berlandaskan kepada kepentingan dan keperluan rakyat.

“Kita juga mahukan hak-hak Sarawak dikembalikan bagi membolehkan negeri Sarawak membangun bersama seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Langkah ini penting bagi membolehkan segala hak dan kepentingan Sarawak seperti minyak dan gas serta kuasa autonomi dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dikembalikan dan terus dipelihara,” tambahnya lagi. — DayakDaily