KUCHING, 27 Julai: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee menasihatkan penduduk negeri ini supaya menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha pada Jumaat (31 Julai) ini secara sederhana.
“Kita harus lupa menyambut Hari Raya Aidiladha secara besar-besaran, cukuplah secara sederhana, cukuplah kita melakukan korban secara sederhana,” katanya dalan ucapannya yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini.
Dr Annuar berkata ini berikutan peningkatan kes dan indeks kebolehan jangkitan Covid-19 yang membuktikan negeri ini sedang dilanda gelombang kedua penyakit terbabit dan pihak berkuasa terpaksa mengambil langkah drastik dua tiga hari ini.
“Semua orang teringin untuk merayakan Hari Raya Aidiladha ini dengan keadaan ataupun secara besar-besaran disebabkan kita tidak dapat menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lepas,” katanya.
Beliau juga menasihatkan mereka untuk mematuhi Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, memakai pelitup muka dan mengelakkan mengunjungi tempat yang sesak.
Selain itu, beliau juga menasihatkan penduduk negeri ini untuk mengelakkan dari keluar dari rumah masing sekiranya tidak perlu berbuat demikian.
“Kita tinggal sahaja di rumah, jika kita tidak perlu keluar dalam masa dua tiga hari atau dua tiga minggu ini,” katanya.
Katanya penduduk negeri ini juga harus bersatu menghadapi gelombang kedua Covid-19 ini dan akan berjaya jika bersama bertanggungjawab samada pihak kerajaan, pihak berkuasa ataupun masyarakat umum.
Dr Annuar berkata jika tidak dapat menghadapi gelombang kedua terbabit keadaan yang lebih dahsyat mungkin akan berlaku bukan sahaja dari segi jangkitan tetapi juga ekonomi negara dan pendapatan masyarakat umum. — DayakDaily