Silibus pusat Sedidik disesuaikan dengan sekolah rendah, menengah dan universiti – Abang Jo

Abang Johari (tengah) menyaksikan penyerahan Sedidik oleh Abdul Aziz (kanan) kepada Fatimah.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Julai: Silibus pembelajaran di pusat Sedidik di seluruh negeri disesuaikan dengan kehendak pembelajaran sekolah rendah, menengah dan universiti.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah untuk melahirkan anak-anak Sarawak yang mahir di dalam bidang tertentu.


“Selepas Sedidik, kita akan mewujudkan sekolah antarabangsa yang silibusnya adalah bersesuaian dengan peringkat universiti.

“Yayasan Sarawak hari ini telah berkerjasama dengan dua universiti ternama dunia iaitu Universiti Cambridge dan Oxford.

“Kita akan menghantar anak-anak Sarawak ke kedua-dua universiti itu untuk mempelajari bidang-bidang tertentu,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sedidik Sdn Bhd oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak di sini hari ini.

Menurut Abang Johari lagi, pembelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah pula akan dipantau oleh kementerian pendidkan negeri dengan kerjasama daripada kementerian di peringkat pusat.

Dalam pada itu, Menteri Bertanggungjawab Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, terdapat 20 Taska Sedidik yang beroperasi di seluruh negeri.

Katanya, proses pengambilan Sedidik diluluskan melalui satu makmal yang telah diadakan pada 5 hingga 8 Disember 2018 yang melibatkan 12 agensi kerajaan.

“Kita membincangkan secara holistik dan komprehensif pengambilalihan Sedidik Sdn Bhd dari PPES.

“Ia melibatkan aspek kewangan, perundangan, infrastruktur, sumber manusia dan pentadbiran.

“Kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada akses, kualiti dan ekuiti,” katanya.

Turut hadir Pengerusi PPES Tan Sri Abdul Aziz Husain.-DayakDaily