Doris yang sewaktu lahir mendapat perkhidmatan helikopter untuk membeli susu kini merindui ibu angkatnya

Wajah ceria Doris (tengah) bersama Konsil (kanan) dan Tr Guyu.

Oleh Chris Bishop

LUBOK ANTU, 11 Julai: Bayi istimewa yang mendapat perkhidmatan helikopter untuk membeli susu pertamanya pada 9 tahun lepas ingin berjumpa ibu angkatnya.

Doris Konsil berkata beliau merindui ibu angkatnya yang merupakan bekas timbalan speaker Dewan Negara Datuk Seri Doris Sophia Brodie.


Katanya, ibu angkatnya sering memberi dorongan kepadanya untuk berjaya dalam persekolahan.

“Saya ingin berjumpa ibu angkat saya sebab saya merindui beliau,” katanya ketika ditemui DayakDaily di Rumah Guyu Jarau, Nanga Ukom di Sungai Engkari semalam.

Pada tahun 2013, seorang ibu di Nanga Ukom telah melahirkan seorang bayi perempuan sekitar jam 3 pagi pada hari tersebut.

Namun ketika itu, ibu bayi tidak dapat menyusukan bayinya.

Kebetulan pada hari yang sama, satu majlis diadakan di Nanga Ukom yang dihadiri bekas Timbalan Ketua Menteri mendiang Tan Sri James Jemut Masing.

Masing serta rombongan termasuk Doris Brodie tiba menaiki dua buah helikopter yang tiba di Nanga Ukom sekitar 3 petang.

Dimaklumkan ada seorang bayi baru lahir yang tiada bekalan susu, Masing telah mengarahkan juruterbang bersama pegawainya untuk membeli susu bayi di Pekan Batang Ai.

Ia setelah bapa bayi Konsil Bungkong memberitahu Masing keadaan bayi dan ibunya.

Helikopter tersebut mengambil masa 30 minit untuk pergi dan balik dari Pekan Lubok Antu dan membawa 10 paket susu bayi.

Di saat inilah Masing bertanya kepada Konsil samada bayi perempuan beliau telah diberikan nama atau belum.

Konsil menjawab belum dan Masing meminta kebenaran untuk memberikannya nama Doris yang seterusnya disetujui.

Nama Doris dipilih sebagai mengambil nama Doris Brodie yang seterusnya bersetuju untuk mengambil bayi tersebut sebagai anak angkatnya.

Peristiwa ini dimaklumkan kepada Doris setelah beliau meningkat dewasa dan Doris Brodie juga kerap membantu anak angkatnya dari sudut kewangan.

Kedua-dua pertama kali bertemu semula pada tahun 2018 di satu majlis di Nanga Spaya, Engkari.

Pada pertemuan itu, Doris Brodie terus memeluk anak angkatnya dan membawanya bersama di majlis itu.

Selang beberapa hari kemudian, Doris mengadakan kunjungan ke Nanga Ukom dan sekali lagi bertemu anak angkatnya.

“Ibu menggesa saya untuk belajar dengan tekun.

“Satu hari nanti saya juga ingin menyambung pelajaran di Kuching dan ini memberi kesempatan untuk bertemu ibu angkat.

“Oleh itu saya ingin belajar sehingga berjaya,” katanya.

Doris kini merupakan murid Tahun 3 di SK Tibu yang terletak lebih kurang 45 minit perjalanan bot dari Nanga Ukom.

Doris merupakan anak bongsu daripada empat orang beradik (tiga perempuan dan seorang lelaki) dan bapa beliau (Konsil) adalah petani. — DayakDaily