Donald Lawan ahli perniagaan berjaya dan kreatif – Abang Johari

Abang Johari (dua kanan) memberikan penghormatan kepada mendiang Donald. Turut kelihatan Snowdan (kanan).
Advertisement

KUCHING, 12 Jun: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan mendiang Datuk Donald Lawan sebagai seorang yang kreatif.

Katanya, mendiang berjaya mengangkat masyarakat Dayak dalam perniagaan walaupun pada masa yang sama aktif dalam politik.

“Beliau seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Advertisement

“Dan setahu saya mendiang berani mengambil risiko dalam bidang perniagaan yang diceburi.

“Tetapi semua risiko itu telah diambil kira dengan baik,” katanya ketika ditemui semasa memberi penghormatan kepada mendiang Donald di sini, hari ini.

Baru-baru ini tambah Abang Johari, mendiang ada berjumpa beliau dan berbincang berhubung tenaga boleh diperbaharui.

“Mendiang sangat kreatif dan kita kehilangan ahli perniagaan bumiputera yang ada pendekatan baik dalam perniagaan,” ujar Abang Johari.

Donald yang merupakan bekas Adun Bukit Begunan Datuk Donald Lawan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, semalam.

Berita kematian beliau turut dikongsikan oleh anaknya yang juga ADUN Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan menerusi satu hantaran di Facebook.

Donald menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 81 tahun, sekitar 6.38 petang kerana masalah jantung.

Donald memenangi kerusi DUN Bukit Begunan atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1987.

Mendiang berjaya menewaskan pencabar terdekatnya dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Dato Sri Daniel Tajem dengan majoriti tipis iaitu 59 undi.

Namun pada PRN 1991, Donald gagal mempertahankan kerusi Bukit Begunan apabila kalah kepada Tajem yang memperoleh 534 undi majoriti. — DayakDaily

Advertisement