MIRI, 6 Jun : Tiga lelaki warga tempatan disyaki mencuri dua tong minyak diesel dari sebuah kebun di Jalan Lama Miri-Bintulu baru-baru ini, telah ditahan polis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Sabri Zainol, ketiga-tiga suspek dikesan dan ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada petang Sabtu di Niah.
Kesemua suspek berusia 19, 24 dan 23 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan dalam satu operasi yang bermula sekitar jam 3 petang itu.
Tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat pekerja pemilik kebun berkenaan setelah terlihat ketiga-tiga suspek memasuki kebun majikannya dan mencuri dua tong minyak diesel pada malam Jumaat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily