Disyaki curi mangga bersama-sama, dicekup bersama-sama

Kesemua suspek ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, Ogos 18: Keseronokan empat sahabat yang disyaki mencuri buah mangga dari sebuah kawasan rumah di Krokop 6 pagi Selasa (18 Ogos) berakhir apabila mereka dicekup polis.

Menurut sumber, kesemua suspek ditangkap selepas orang awam melaporkan mengenai kehadiran mereka yang mencurigakan di kawasan rumah berkenaan sekitar jam 9 pagi.


Kesemua suspek yang merupakan orang tempatan, telah datang ke kawasan rumah berkenaan dengan hanya berbasikal dan membawa satu guni kosong yang kemudiannya digunakan untuk menyimpan buah mangga tersebut.

Lebih daripada 20 mangga yang berasal dari Thailand dijumpai didalam karung guni tersebut semasa suspek ditangkap.

Siasatan awal mendapati, suspek merancang untuk menjual buah manga berkenaan dengan harga RM2.50 sebiji.

Kesemua suspek kini ditahan di Balai Polis pusat untuk siasatan lanjut. — DayakDaily