Dera anak: Ibu kandung bersama teman lelaki ditahan

Pasangan tersebut (berdiri dua san tiga dari kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

MIRI, 29 Mei: Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya hari ini kerana dipercayai telah mendera anak kandungnya berusia enam tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Sabri Zainol berkata, kejadian disedari oleh bapa kandung kanak-kanak lelaki itu pada petang Jumaat (28 Mei) selepas melihat terdapat beberapa kesan luka dan lebam pada badannya.

Mangsa juga turut memberitahu dia telah dipukul oleh lelaki yang tinggal bersama ibunya yang dia gelar sebagai “uncle”.

Susulan laporan polis tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD (JSJ) Miri relah menahan kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 45 tahun itu sekitar jam 12.05 dan 12.20 tengahari tadi (Sabtu).

Difahamkan, ibu bapa kandung mangsa telah tidak tinggal bersama sejak tiga tahun yang lalu, dan mangsa diletakkan dibawah jagaan ibunya.

Turut dirampas semasa suspek ditahan ialah dua batang rotan dipercayai telah digunakan dalam kejadian.

Pasangan tersebut ditahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Alta Kanak Kanak 2001. — DayakDaily