Dekoder myFreeview percuma diagih di Kuching sehingga 18 Februari

Chong (berdiri empat kanan) melawat pusat pengagihan Aeroville Mall.

By Chris Bishop

KUCHING, 15 Feb: Warga B40 di sekitar Kuching digalakkan untuk
menuntut dekoder percuma myFreeview di Aeroville Mall, Stutong, dan
E-Mart Batu Kawah, bermula hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen berkata pusat pengagihan dibuka di Aeroville Mall hari ini dan esok, manakala di E-Mart Batu Kawah pada 17 dan 18 Februari.


“Pada hari ini dan esok, orang ramai yang layak boleh menuntut dekoder percuma my Freeview di Aeroville Mall.

“Seterusnya pada Isnin dan Selasa boleh dituntut di E-Mart Batu Kawah bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang,” katanya kepada pemberita pada lawatan ke Aeroville Mall untuk menyaksikan pengagihan tersebut hari ini.

Untuk melancarkan proses pengagihan tambah Chong, kerajaan telah mengadakan kerjasama dengan syarikat swasta seperti Aeroville Mall yang memiliki kemudahan yang selesa.

Selain di Kuching, beliau yang juga MP Stampin dan ADUN Kota Sentosa berkata pusat pengagihan turut di buka di Miri, Sibu dan Bintulu.

Di Miri, pusat pengagihan dibuka di E-Mart Tudan pada 26 Februari dan satu lagi lokasi yang akan diumumkan kelak pada 27 dan 28 Februari. Manakala di Bintulu, pusat pengagihan dibuka di Times Square Mall pada 1 dan 2 Mac, serta SMK Nangka Sibu pada 7 hingga 8 Mac ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk membawa bersama kad pengenalan bagi tujuan pengesahan.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh layari www.myFreeview.tv atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1-800-18-1088 atau 1-300-80-6988 daripada pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari termasuk cuti umum.

Permohonan set dekoder percuma untuk warga B40 yang layak juga boleh dibuat melalui emel ke digital@mcmc.gov.my. — DayakDaily