Rumah Sarawak, Sarawak Volunteers jaga kebajikan rakyat Sarawak di Semenanjung Malaysia — Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 15 Feb: Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur atau Rumah Sarawak, dengan kerjasama Sarawak Volunteers, sentiasa bersedia menjaga kebajikan anak Sarawak di Semenanjung Malaysia.

MP Petra Jaya yang juga penasihat Sarawak Volunteers, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata badan ini menyediakan bantuan kepada rakyat Sarawak yang sakit atau jika berlaku kematian, khususnya di kalangan golongan tidak berkemampuan.

“Sepanjang tahun 2019, seramai 201 pesakit dan waris rakyat Sarawak yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sg Buloh, Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Putrajaya dan Hospital Ampang telah menerima bantuan kerajaan negeri melalui Rumah Sarawak


“Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers juga telah membantu serta mengurus 49 kes khairat kematian sepanjang tahun 2019,” katanya pada Majlis Taklimat Kebajikan Rakyat Sarawak bersama sekitar 100 wakil NGO dan pelajar IPT Sarawak di Kuala Lumpur, malam tadi.

Tambah Fadillah, bantuan sepanjang tahun 2019 itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM157,750.

Katanya, Rumah Sarawak dengan kerjasama NGO-NGO yang membantu akan memastikan proses berkenaan dilaksanakan dengan teratur dan sempurna.

Selain itu, beliau berkata Rumah Sarawak pada tahun 2019 juga telah membantu dua kes gelandangan.

Dalam pada itu, Fadillah turut mengalu-alukan kerjasama dari semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama membantu sekiranya terdapat kes yang melibatkan rakyat Sarawak yang memerlukan bantuan.

“Maklumkan segera kepada Rumah Sarawak jika ada rakyat Sarawak di Semenanjung yang memerlukan bantuan,” katanya.

Menurut beliau, mereka boleh berhubung terus dengan pegawai yang bertanggungjawab mengenai hal-hal berkaitan kebajikan di Rumah Sarawak, iaitu Dayang Norhashimah dan wakil Sarawak Volunteers, Mohd Reza Abd Rashid atau boleh berhubung terus dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Sarawak.

Program dan taklimat yang berlangsung malam tadi merupakan kali pertama diadakan yang antara lainnya bertujuan memberi penerangan dan perkongsian bersama NGO-NGO serta pihak-pihak berkaitan.

Di antara NGO dan persatuan yang menghantar wakil ialah Persatuan Kebajikan Song-Kapit Kuala Lumpur, Persatuan Transformasi Dayak (TRADA),  dasar Borneo Seri Kembangan, Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Diaspora, Hikmah-KL, Persatuan Anak Limbang, Yayasan Limbang, Yayasan Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan dan Negeri Sarawak, serta wakil persatuan pelajar Sarawak IPTA/IPTS sekitar Lembah Klang. — DayakDaily