SERIAN, Sept 14: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) komited terus berjuang dan memartabatkan tanah hak adat bumiputera (NCR) komuniti Bidayuh.
Penasihat DBNA yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, DBNA juga tidak akan jemu memberi penerangan tentang projek dokumentasi tanah NCR kepada kaum Bidayuh.
Jelasnya, tanah NCR yang tidak didokumenkan hanya akan menyebabkan pertikaian sesama komuniti dan keluarga pemilik tanah terlibat.
“Sejak 2007, DBNA telah memulakan inisiatif ini dan sehingga hari ini ia ternyata berjaya menyelesaikan masalah dan pertikaian tanah khasnya.
“Inisiatif yang kita (DBNA) lakukan ini adalah bagi mempercepatkan operasi penyukatan tanah yang dilakukan oleh Jabatan Tanah dan Survei kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penerangan Dan Dialog Projek Dokumentasi Tanah NCR di sini hari ini.
Manyin menambah, masyarakat Bidayuh khususnya perlu terus memberi kepercayaan kepada DBNA dalam urusan pendokumentasian tanah NCR.
“Komuniti Bidayuh harus terus bersatu dan bersama kita kerana tiada persatuan lain selain DBNA memperjuang tanah NCR untuk komuniti mereka,” ujarnya.
Dianggarkan kira-kiraa-kira 300 orang komuniti Bidayuh mengambil bahagian dalam majlis tersebut.— DayakDaily