DBKU cadang Jalan Gambier sebagai zon bebas kenderaan sehari seminggu

Abdul Wahap (kiri) ketika ditemuramah media di kediaman Wee.
Advertisement

KUCHING, 6 Feb: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bercadang menjadikan Jalan Gambier di Tebingan Kuching sebagai jalan bebas kenderaan satu hari setiap minggu di bandaraya ini.

Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, berkata cadangan terbabit mungkin akan dilaksanakan sekitar Mac atau April tahun ini.

“Keseluruhan Jalan Gambier sehingga Jalan Main Bazaar akan ditutup (kepada kenderaan) sehari dalam minggu untuk membolehkan aktiviti riadah diadakan.

Advertisement

“Besar kemungkinan akan bermula bulan Mac atau April depan,” katanya selepas mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke kediaman ahli dewan DBKU, Datuk Wee Hong Seng, di Jalan Chua Say Chiat di sini, hari ini.

Abdul Wahap berkata DBKU bagaimanapun perlu terlebih dahulu membincangkan cadangan itu dengan semua pihak berkaitan yang menduduki atau mempunyai premis perniagaan di sepanjang jalan terbabit.

DBKU bercadang untuk mengadakan perbincangan selepas Majlis Agenda DBKU pada 24 hingga 31 Mac depan.

Beliau berkata dialog perlu diadakan memandangkan pihaknya pernah mengadakan program hari bebas kenderaan dengan menutup Jalan Gambier dua tahun lepas, tetapi program terbabit telah mendapat tentangan dari pelbagai pihak berkaitan.

“Jadi sebelum ini, kita tidak meneruskan program itu kerana masih belum masanya.

“Tetapi sekarang kita melihat bahawa keadaan memerlukan kita untuk menyediakan satu kawasan yang lapang dan sesuai untuk riadah di depan Tebingan Kuching itu dan perlu melihat kembali mengadakan program itu,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahap juga mendedahkan DBKU dijangka akan melancarkan satu aplikasi telefon pintar khusus berkaitan lukisan mural di bandaraya ini yang akan dirasmikan pelancarannya oleh ketua menteri pada perayaan Chap Goh Mei bulan ini.

“Saya fikir aplikasi ini adalah yang pertama diperkenalkan di Sarawak dan mungkin juga Malaysia,” katanya.

Aplikasi itu membolehkan orang ramai mengunakan telefon pintar bagi mendapatkan maklumat sejarah tentang sesuatu lukisan mural di bandaraya ini, ujar beliau. — DayakDaily

 

Advertisement