DBKU: Arahan pematuhan kerja di tapak bina dilanjutkan hingga 14 April

DBKU logo

KUCHING, Apr 8: Arahan terhadap keperluan dan perkara-perkara yang perlu dipatuhi ditapak bina di bawah penyeliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara(DBKU) dilanjutkan mulai 1 hingga 14 April 2020.

Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad menerusi kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

“Semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan perlu dihentikan dan kebenaran hanya diberikan kepada kontraktor untuk melaksanakan baki kerja yang sekiranya tidak disiapkan akan menyebabkan bahaya kepada pihak awam.


“Kerja kecemasan penyelenggaraan boleh diteruskan untuk memastikan keselamatan pihak awam sentiasa terjaga.

“Pengurusan trafik dan pelaksanaan aspek keselamatan di tapak projek diteruskan dan sentiasa dipantau serta diselenggara supaya tidak mengancam keselamatan pihak awam,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti yang kritikal seperti peralatan mekanikal dan elektrikal yang dijadualkan juga perlu diteruskan.

Manakala, bagi kerja penyelenggaraan seperti pokok, rumput, parit, jalan dan sebagainya akan dihentikan dan akan dilaksana jika ada keperluan kritikal. —DayakDaily.