PKP: Helikopter hantar bekalan makanan ke pendalaman mulai 5 hingga 10 April

Helikopter Syarikat Hornbill Skyways Sdn Bhd membantu menghantar bekalan makanan ke sektor Lubok Antu.

KUCHING, Apr 8: Penghantaran bekalan makanan ke kawasan pedalaman menggunakan helikopter bermula 5 hingga 10 April 2020.

Menurut Mejar Mohd Ariff Azham dari Markas Pemerintahan Medan Timur, program bantuan melibatkan 5 kawasan DUN iaitu Mulu, Telang Usan, Batang Ai, Meluan dan Pakan.

Katanya, penghantaran menggunakan pesawat EC 725 milik TUDM dan dibantu 2 buah pesawat EC 135 milik Hornbill Skyways Sdn Bhd.

“Bagi melaksanakan tugasan itu, kumpulan bantuan terdiri daripada anggota tentera darat akan membuat kerja-kerja ‘loading’ dan ‘off loading’.

“Manakala kumpulan bantuan udara akan membuat tugasan penghantaran bantuan ke lokasi terpilih,’katanya pada satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bario merupakan lokasi pertama penghantaran bekalan makanan yang melibatkan 400 pek dengan 4 sortie pada 5 April lepas.

Di Sektor Miri pula, sebanyak 428 pek telah dihantar ke 4 lokasi pada 6 April.

“Manakala pada 7 April, hanya 2 lokasi yang membabitkan 328 pek dan 3 sortie berjaya dihantar dan baki 6 lokasi tidak dapat diteruskan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Penglibatan Syarikat Hornbill Skyways Sdn Bhd telah bermula di sektor Lubok Antu pada 7 April yang membabitkan 14 sortie dan 412 pek dan pada 8 April ke 2 lokasi dengan 76 pek,” ujar beliau.—DayakDaily

Anggota tentera membantu proses penghantaran bekalan makanan.