This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 21 Ogos: Tiga individu termasuk Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng menerima Anugerah Ikon Bina Badan Sarawak pada semalam.
Dua individu lain ialah Kapitan Desmond Thian dan Douglas Jerukan Kanyan.
Anugerah oleh Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) ini adalah bagi memperingati jasa dan sumbangan mereka dalam sukan bina badan negeri dan negara.
Penganugerahan tersebut diadakan di Perasmian Kejuaraan Bina Badan Kuching South City Classic 2023 yang diadakan di Pentas Tasik MBKS.
Kapitan Thian telah berkecimpung dalam sukan bina badan selama lebih 45 tahun bermula 1976.
Beliau juga pernah menjadi Presiden SBBA dari 2004 sehingga 2008 dan juga sebagai ketua pengadil bina badan Sarawak daripada 1992 sehingga 2019.
Douglas pula merupakan juara pertama Mr Sarawak pada tahun 1963, dan sebelum itu, pernah memenangi gelaran Mr New Zealand pada 1961 di mana beliau masih menuntut di negara Lautan Pasifik itu.
Wee pula merupakan Presiden SBBA semenjak 2009, dan juga salah seorang naib presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) semenjak 2011.
Anugerah disampaikan Pengerusi Pengelola Kuching South City Classic 2023 yang juga Ahli Majlis MBKS Andy Lester Tan.
Hadir sama Presiden Persatuan Bina Badan Bahagian Kuching (KDBBA) George Awi William dan Setiausaha Kehormat SBBA Dr Malvern Abdullah. ā DayakDaily