Darah jenis A, B dan AB kurang di TDHUS

Tabung Darah Hospital Umum Sarawak

KUCHING, Feb 21: Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (TDHUS) merayu kepada orang ramai agar tampil untuk menderma darah di TDHUS atau di Unit Bergerak Kempen Derma Darah TDHUS yang berhampiran.

Hospital Umum Sarawak kini menghadapi masalah bekalan darah jenis A, B dan AB yang berada di paras rendah sementara darah O pula berada di paras sederhana. Untuk makluman, HUS menggunakan 45 hinggga 50 unit darah sehari.

Perkara ini disebabkan oleh peningkatan kes-kes pendarahan seperti muntah darah, kes kemalangan yang menyebabkan pendarahan dalaman, pembedahan yang rumit dan penggunaan bekalan harian darah untuk pesakit-pesakit kanser, leukemia dan thalassemia.


Orang ramai terutamanya warga penderma yang telah matang tempoh pendermaan dimohon untuk menderma darah di TDHUS atau di lokasi-lokasi Kempen Derma Darah pada hujung minggu ini. Buku Rekod Pendermaan juga perlu dibawa bagi membolehkan pihak TDHUS mengemas kini jumlah pendermaan.

Bagi penderma kali pertama, mereka hanya perlu membawa Kad Pengenalan dan Buku Rekod Pendermaan akan diberikan oleh pihak TDHUS. Sebelum menderma, orang ramai dinasihatkan untuk makan ringan terlebih dahulu dan telah mendapatkan rehat secukupnya atau telah tidur sekurang-kurangnya lima jam.

Unit Bergerak Kempen Derma Darah akan berada di empat lokasi pada hujung minggu ini. Lokasi pertama pada Sabtu, Feb 24 ialah di Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Sarawak, Muara Tebas bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Lokasi kedua pula bertempat di Mydin Vista Tunku, Petra Jaya bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Pada hari Ahad, Feb 25, Unit Bergerak Kempen Derma Darah akan berada di Emart Batu Kawa bermula jam 10 pagi hingga 3 petang dan di Summermall, Kota Samarahan juga bermula pada jam yang sama.

Pihak Hospital Umum Sarawak juga mengalu-alukan penyertaan agensi atau jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk turut sama menganjurkan Kempen Derma Darah bagi membantu meningkatkan bekalan darah di TDHUS.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi TDHUS di talian 082 276797 atau 276795. — DayakDaily