Lelaki rogol anak sendiri dipenjara 80 tahun dan dikena 24 sebatan

Anggota polis mengiringi tertuduh keluar dari kamar Mahkamah Sesyen, hari ini.

KUCHING, Feb 21: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara selama 80 tahun dan 24 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 40 tahun yang dituduh merogol anak kandungnya sejak tiga tahun lalu.

Hakim Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh disabitkan bersalah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Mahkamah sama memerintahkan bagi setiap pertuduhan, tertuduh dihukum penjara 20 tahun dan enam sebatan.


Hakim juga mengeluarkan perintah hukuman tersebut berjalan berasingan berkuatkuasa hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pekerja am didakwa merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah kampung di Padawan sejak Mac 2015.

Pendakwaan kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. — DayakDaily