Daerah penuh Sebuyau dibangun sebagai bandar utama

Abang Johari (tengah) menyaksikan penyerahan watikah pengisyitiharan Sebuyau sebagai daerah penuh oleh Abu Bakar (kanan) kepada Residen Samarahan, Ibrahim Lumpur.

KUCHING, 14 Dis: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Sebuyau menjadi sebuah bandar utama di laluan pesisir, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, Sebuyau di kedudukan strategik di persimpangan penting jalan pesisir.

“Oleh sebab itu kita ambil keputusan untuk menjadikan Sebuyau daerah penuh.

“Kita akan bina kompleks pentadbiran baharu di kawasan Sebuyau New Township.

“Di sana kita bangunkan kawasan perumahan baharu, pusat komersial dan ini menguntungkan rakyat di Sebuyau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu majlis perasmian Sebuyau sebagai daerah penuh di Dewan Pembangunan Sebuyau hari ini.

Tambah Abang Johari, Sebuyau kini dilimpahi dengan pelbagai projek pembangunan khususnya pembinaan Jambatan Batang Lupar dengan kos RM800 juta.

Selain itu, katanya, kerajaan juga sedang membina jalan menghubungkan Sebuyau ke Lingga dengan kos RM300 juta.

“Salah satu projek besar disini ialah pembinaan benteng menerusi peruntukan berjumlah RM314 juta,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi dan Timbalan Setiausaha Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki. — DayakDaily