Daerah Bau boleh capai 80 peratus imuniti kelompok penghujung Ogos — Henry Jinep

Henry ketika ditemui di Kuching.

KUCHING, 8 Jun: Adun Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep yakin daerah Bau boleh mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada penghujung Ogos depan.

Menurut beliau, ini berikutan 96 peratus daripada jumlah penduduknya yang layak menerima vaksinasi telah mendaftar.

“Di Bau, kita mempunyai penduduk seramai 62,000 dan untuk vaksinasi kita ada had umur yang boleh diberikan suntikan.


“Sejumlah 80 peratus atau bersamaan 46,000 layak menerima vaksinasi dan yang telah mendaftar adalah 96 peratus iaitu 43,000 penduduk, hampir mencecah 100 peratus mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Henry berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang Tahun 2021 di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki di sini, hari ini.

Tambah beliau, proses pemberian vaksin untuk penduduk di daerah tersebut akan bermula pada 11 Jun sehingga Ogos, tertakluk kepada ketibaan vaksin.

Katanya lagi, terdapat 5 pusat pemberian vaksin(PPV) telah disediakan di daerah Bau iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Bau, Hospital Bau, Klinik Kesihatan Siniawan termasuk dua klinik swasta.

“Kita sasarkan seribu vaksin diberikan pada setiap hari, bermakna kita memerlukan tempoh 46 hari dan untuk suntikan kedua selepas 21 hari kita boleh sampai ke penghujung Ogos ini.

“Pada penghujung Ogos kita yakin daerah Bau boleh capai 80 peratus imuniti kelompok,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Henry berkata semua penduduk Bau kini sudah bersedia untuk menerima suntikan vaksin hasil kerjasama semua pihak yang berusaha keras dalam memastikan penduduknya mendaftar.

“Ketua masyarakat dan ketua kaum telah pergi dari rumah ke rumah untuk menghantar borang dan ini satu kaedah yang sangat berkesan.

“Sekarang, semua penduduk di Bau inginkan suntikan vaksin tanpa perasaan takut,” kata Henry. — DayakDaily