Dadah tidak dituntut di pejabat kurier

Dadah yang dirampas polis untuk siasatan lanjut.

KUCHING, Jan 20: Misteri bungkusan mencurigakan yang tidak dituntut di pejabat sebuah syarikat perkhidmatan kurier terjawab apabila didapati mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan.

Beliau memberitahu bungkusan tersebut tiba pada 4 Januari lalu dari Petaling Jaya, Selangor kepada satu alamat di Jalan Batu Kawa.


Bagaimanapun, bungkusan dikategorikan ‘self collector’ itu tidak dituntut sehingga semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati alamat dan nombor telefon yang didaftar tidak wujud menyebabkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bertindak merampas bungkusan tersebut untuk siasatan

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu plastik di dalam kotak tersebut yang mengandungi empat ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah ganja seberat kira-kira 2,100 gram bernilai sekitar RM4,000,” katanya semalam.

Susulan itu, kesemua dadah tersebut kemudian dirampas dan dibawa ke Pajabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Padawan untuk siasatan lanjut.

Jelas Aidil, pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penghantar bungkusan tersebut.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily