Dadah seberat 60kg bernilai RM1.9 juta dirampas di Kuching

Norizan (duduk, dua dari kiri) pada sidang media di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 10 Julai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak pada Khamis lepas merampas dadah seberat 60 kilogram bernilai RM1.9 juta di Kuching.

Pengarah JKDM Sarawak Norizan Yahya berkata, rampasan dilakukan di perkarangan sebuah syarikat kargo pada jam 3.50 petang.

“Pemeriksaan terhadap 10 kotak kiriman kargo udara itu membawa kepada penemuan 60 paket bercetak ‘Guan Yi Wang’ yang mengandungi serbuk kristal dadah jenis syabu atau methamphetamine.

Advertisement

“Berat 60 paket ketulan kristal tersebut ialah 60,670 gram yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta.

“Ini adalah rampasan dadah terbesar JKDM Sarawak tahun ini,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Tambah Norizan, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, beliau yakin ada cubaan sindiket menjadikan Sarawak sebagai hab pengedaran dadah Borneo.

Ia berikutan banyak kes penyeludupan dari Semenanjung dikesan menjadikan Sarawak sebagai destinasi.

“Terbaharu seberat 60kg, manakala di Miri bulan lalu seberat 49kg dan pada Mac 2024 di Matang, Kuching sebanyak 46kg

“Kemungkinan rangkaian sindiket pengedaran dadah ini mempunyai kaitan berikutan modus operandi yang sama.

“Mereka menggunakan khidmat penghantaran kargo udara antara wilayah dari Kuala Lumpur ke Kuching dengan membuat pengiktirafan tidak benar pada Borang Kastam No 3,” katanya.

Jelas Norizan lagi, dadah dipercayai diperoleh dari negara lain sebelum dibawa ke Semenanjung seterusnya diterbangkan ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Setibanya di Sarawak, dadah berkenaan akan diseludup pula ke negara jiran seperti Indonesia. — DayakDaily

Advertisement