Cubaan seludup keluar lima anak buaya dipatahkan

Anggota SFC menunjukkan anak buaya yang disyaki untuk diseludup keluar.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 12: Cubaan untuk menyeludup keluar lima ekor anak buaya ke Semenanjung Malaysia berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa semalam.

Sarawak Forestry Corporation (SFC), dalam satu kenyataan media hari ini, memberitahu pada 2 Jan lalu, pihak perkhidmatan kurier memaklumkan telah menerima dua kotak putih yang kononnya terdapat ikan di dalamnya.

Advertisement

Bagaimanapun kata SFC, beberapa hari kemudian, pihak Jabatan Kastam telah mendapati kandungan dalam kotak itu bukannya ikan seperti yang dinyatakan si pengirim.

“Pihak Kastam terkejut apabila mengesan lima ekor anak buaya di dalam kotak tersebut sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak SFC.

“Sebaik menerima laporan tersebut, sepasukan anggota SFC bergegas ke tempat penemuan untuk melakukan operasi susulan,” katanya di sini hari ini.

SFC menambah, mereka kemudian cuba menghubungi pihak pengirim kotak berkenaan, namun usaha tersebut gagal.

Katanya, satu laporan polis berhubung penemuan anak buaya itu telah dibuat di Balai Polis Sibu.

“Kes itu disiasat mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998,” jelas SFC. — DayakDaily

Advertisement