Ops Sungai Sebatu: Kaum wanita guna paluan gong bantu pasukan SAR

Oleh Dean Adam

MARUDI, Jun 19: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di kawasan hutan berhampiran Rumah Panjang Jemat, Sungai Sebatu, Tinjar dekat sini masih menemui jalan buntu setakat ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini bagaimanapun berjaya menemui beberapa petunjuk baharu.

Katanya, pada pukul 9.20 pagi, kumpulan SAR 1 telah menemui seutas joran dipercayai milik mangsa dalam jarak 10 meter daripada bakul yang ditemui semalam.

“Tiga minit selepas itu, pasukan SAR sama kemudian menjumpai seluar mangsa dalam keadaan terbalik iaitu 3 meter daripada joran.

“Manakala, pada pukul 11.45 pagi, kumpulan SAR 2 pula telah menemui sebilah parang dan sekotak rokok dipercayai milik mangsa lebih kurang 3 meter daripada seluar mangsa yang ditemui sebelum itu,” katanya di sini hari ini.

Pasukan SAR sedang melakukan operasi mengesan mangsa.

Law menambah, sekumpulan wanita dari rumah panjang berkenaan turut membantu operasi SAR dengan menggunakan paluan gong.

“Bagaimanapun, setakat pukul 7 malam, mangsa masih gagal dikesan dan operasi aian bersambung esok,” katanya. — DayakDaily