KUCHING, 3 Ogos: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 1,800.46 liter diesel yang disyaki untuk diseludup bersama sebuah lori di Serian.
KPDNHEP menerusi satu kenyataan hari ini mendedahkan nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM93,276.84.
Rampasan tersebut dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 di Serian yang kemudiannya diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan pada 30 Julai lepas.
“Dalam Operasi Libas pada 30 Julai 2020 tersebut, pihak PGA telah menyita untuk siasatan sebuah lori dan diesel sebanyak 1,800.46 liter.
“Siasatan awal oleh KPDNHEP mendapati orang kena tuduh tidak memiliki lesen atau kebenaran untuk memiliki atau menjalankan urusniaga barang kawalan tersebut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” menurut kenyataan itu.
Barangan kawalan bersubsidi diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,276.84.
KPDNHEP dengan kerjasama jabatan serta agensi penguatkuasa akan sentiasa dan berterusan memantau, menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas dari semasa ke semasa untuk menangani ketirisan barang kawalan bersubsidi. — DayakDaily