Oleh Brad Rantayy
MIRI, 11 Feb: Tiga bot tunda bersama tiga tongkang telah ditahan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu malam kelmarin kerana melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut menggunakan dokumen kebenaran yang telah tamat tempoh.
Turut dirampas sebanyak 680 batang yang telah dipindahkan ke atas tongkang tersebut.
Tangkapan dilakukan pada jarak lebih kurang 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, sekitar jam 7 malam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad dalam satu kenyataan media berkata, tangkapan dilakukan Kapal Maritim (KM) Renggis semasa melaksanakan Operasi Permai di sekitar perairan Bintulu.
“Semasa operasi itu kita telah mengesan tiga bot tunda beserta tiga tongkang yang sedang memindahkan muatan barangan bercukai, disyaki kayu balak daripada sebuah kapal yang berpangkalan dari Papua New Guinea di lokasi tersebut sekitar jam 6.30 petang kelmarin,” ujarnya.
Hasil pemeriksaan dan geledah mendapati kesemua bot tunda serta tongkang tersebut telah melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut menggunakan dokumen kebenaran yang telah tamat tempoh dan turut gagal mengemukakan “Domestic Shipping Licence” (DSL) semasa pemeriksaan.
Kesemua 16 kru ditahan termasuk tiga nakhoda, berumur dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun terdiri dari 11 lelaki warga tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki warga India, mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa diperiksa.
Kesemua 16 kru, tiga bot tunda beserta tiga tongkang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.
Setakat hari ini, Zon Maritim Bintulu telah melakukan 11 kes tangkapan yang melibatkan bot tunda dan tongkang di perairan Bintulu.
Maritim Malaysia mengambil serius akan perkara ini dan akan sentiasa membuat pemantauan rapi ke atas vesel-vesel di perairan Bintulu agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang di laut demi kesejahteraan bersama.
Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily