Oleh Chris Bishop
KUCHING, Ogos 19: Serbuk gula apong yang boleh menggantikan gula dalam minuman bakal berada di pasaran tempatan.
Produk baharu ini adalah hasil kajian dan ciptaan Craun Research Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat berkaitan kerajaan.
Menurut Ketua Unit Servis Korporat Craun Research, Zahri Perhi, serbuk gula apong ini mengandungi khasiat tersendiri.
“Serbuk gula apong ini amat tinggi anti-oksida dan penghasilannya akan membuka ruang atau mempelbagaikan penggunaan gula apong.
“Ianya membantu memberi pendapatan tambahan kepada pengusaha-pengusaha gula apong di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media yang diadakan di gerai pameran Craun Research bersempena Karnival Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) 2019 di Tebingan Kuching (Kuching Waterfront) hari ini.
Di samping itu, tambah Zahri, gula apong yang telah diproses menjadi serbuk akan lebih tahan lama dan ianya akan dibungkus dengan elok untuk tujuan pemasaran.
Selain serbuk gula apong, syarikat tersebut turut memperkenalkan makanan pembekal tenaga ‘snack bar’ yang juga hasil kajian dan ciptaan Craun Research.
“Snack bar dihasilkan menggunakan tepung sago dan hasil kajian kita mendapati makanan ini mengandungi indek glikemik yang rendah iaitu 25 peratus.
“Dengan itu makanan ini baik untuk kesihatan,” ujar beliau.
Dengan penghasilan kedua-dua produk ini, syarikat itu akan berkerjasama rapat dengan komuniti berkaitan untuk membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka, menurut Zahri. — DayakDaily