Remaja lelaki hilang semasa cari siput ditemui selamat

Mangsa (tengah) yang ditemui selamat dibawa pulang menggunakan bot.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Ogos 19: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari siput bakau dengan bapanya semalam berjaya ditemui selamat tengah hari tadi.

Mangsa, Jackson Jimbat, 18, dijumpai selamat oleh penduduk kampung pada pukul 12 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Putra Ila berkata, mangsa yang ditemui di kawasan kolam balak lama kemudian dibawa menggunakan bot ke jeti berhampiran.

Katanya, pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dia dibawa ke Klinik Sampadi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari,” katanya di sini hari ini.

Pasukan mencari dan menyelamat sedang mencari mangsa.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas keluar mengikut bapanya mencari siput bakau di kawasan Sungai Kangka, Sampadi di sini semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.58 malam.

Berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan keluar bersama bapanya pada pukul 3 petang untuk mencari siput bakau sebelum dia dilaporkan hilang. — DayakDaily