Covid-19: Satu kematian dengan 54 kes baharu

Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 MEI: Satu kes kematian akibat Covid-19 dengan penambahan 54 kes baharu dicatatkan sehingga jam 12 tengah hari 9 Mei 2020.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi perkongsian di Facebook hari ini berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik itu kepada 108 kes.


“Kes kematian ke-108 (kes ke-2499) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid.

“Mangsa mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-1276 yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling.

“Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 8 Mei 2020 jam 11.23 malam,” menurut kenyataan itu.

KKM juga memaklumkan pertambahan 65 kes pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 4,929 kes.

Menurut KKM lagi, sehingga 9 Mei 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat 54 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,589 kes.

Seramai 18 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU). Daripada jumlah tersebut, 6 kes memerlukan bantuan pernafasan.—DayakDaily.