KUCHING, Mac 25: Kementerian Kesihatan diarah memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
“Sementara itu, tenaga sukarela dari kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu,” katanya dalam satu perutusan khas di Putrajaya hari ini.
Pada perutusan tersebut, beliu turut mengumumkan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga April 14.
Selain petugas-petugas kesihatan, Muhyiddin juga mahukan anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan turut dibenarkan mengambil cuti rehat.
“Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara.
“Kita telah berikhtiar sedaya upaya kita untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pada mesyuarat kabinet hari ini, beliau telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan rapi bagi mengurus keperluan asas sepanjang tempoh PKP yang telah dilanjutkan sehingga April 14.
Katanya, paling penting semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi.
“Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh PKP ini, ramai pihak yang memerlukan sokongan dan bantuan.
Justeru katanya, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi yang sukar ini.
“Hari ini, satu lagi inisiatif iaitu penangguhan bayaran balik pinjaman bank sehingga enam bulan dan penyusunan semula baki kad kredit serta pinjaman korporat telah saya umumkan,” ujar beliau.
Disamping itu, Muhyiddin juga memaklumkan bahawa satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh akan diumumkan pada Jumaat ini.
“Samada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat, tiada yang akan dtinggalkan,” ujar beliau. — DayakDaily