Covid-19: Malaysia rekod 3,585 kes baharu dan 11 kematian

Filepix

KUCHING, 26 Jan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 3,585 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 3,583 kes tempatan dan dua kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 190,434 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 40,574 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,295 kes. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 610 kes dan Johor dengan 516 kes.


Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 4,076 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 149,160 kes atau 78.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 280 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 111 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 11 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 700 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat 11 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 10 kes warganegara dan satu bukan warganegara.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tiga kes dari Sarawak dan masing-masing satu kes dari Perak, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat tujuh kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan tigakluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti, satu kluster keagamaan dan satu kluster yang melibatkan pusat tahanan. — DayakDaily