Covid-19: Kuching catat jumlah tertinggi dengan 323 kes

File photo for illustration purposes only. Photo credit: Pixabay

KUCHING, 21 Nov: Minggu epid ke-46 kes positif Covid-19 menyaksikan daerah Kuching terus mencatatkan jumlah kes tertinggi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kuching mencatatkan 323 kes, manakala Daerah Sibu mencatat 89 kes, Miri (105), Bintulu (48), Samarahan (49) dan Serian (19).

Menurut JPBN, jumlah kes positif Covid-19 bagi minggu epid ke-46 menunjukkan peningkatan berbanding minggu epid ke-45.


Sebanyak 814 kes dicatatkan pada minggu epid ke-46 berbanding 616 pada minggu sebelumnya.

“Ini menjadikan kes kumulatif setakat ini meningkat kepada 319,265 kes.

“Pada minggu epid ke-46, sebanyak 795 kes tergolong dalam kategori 1 dan 2 manakala 19 kes dicatatkan dalam kategori 3, 4 dan 5,” kata JPBN.

Serian merekodkan satu kematian bagi minggu epid ke-46. — DayakDaily