Covid-19: Kuching catat jumlah kes 3 angka, tertinggi berbanding daerah lain

Gambar adalah untuk tujuan ilustrasi sahaja. Foto: Pixabay

KUCHING, 31 Okt: Minggu epid ke-43 kes positif Covid-19 menyaksikan daerah Kuching mencatatkan jumlah kes dengan 3 angka berbanding daerah lain yang hanya 2 angka.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata, Kuching mencatatkan 171 kes.

Manakala Daerah Sibu mencatat 49 kes, Miri (50), Bintulu (26), Serian (14), Samarahan (13) dan Bau (11).


Menurut JPBN, jumlah kes positif Covid-19 bagi minggu epid ke-43 menunjukkan penurunan berbanding minggu epid ke-42.

Sebanyak 389 kes dicatatkan pada minggu epid ke-43 berbanding 443 pada minggu sebelumnya.

“Ini menjadikan kes kumulatif setakat ini meningkat kepada 317,376 kes.

“Pada minggu epid ke-43, sebanyak 379 kes tergolong dalam kategori 1 dan 2 manakala 10 kes dicatatkan dalam kategori 3, 4 dan 5,” kata JPBN.

Tiada kematian direkodkan bagi minggu epid ke-43. — DayakDaily