Covid-19: Kluster Satok dikesan di Kuching dan Kluster PUI Sivagangga di Kedah

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Julai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu Covid-19 di Kuching dikenali sebagai Kluster Satok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini berkata, kluster tersebut setakat ini membabitkan empat kes.


“Kluster ini dikesan di sebuah pasar di Satok, Kuching, di mana saringan Covid-19 telah dijalankan di pasar tersebut.

“Sehingga 28 Julai 2020 sebanyak 229 orang peniaga telah disaring. Daripada jumlah tersebut, empat dikesan positif Covid-19 manakala 225 negatif,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, kesemua kes positif adalah tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

Aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan dan nyah kuman bagi premis dan kemudahan yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa KKM turut mengesan satu lagi kluster baharu di Kedah hari ini iaitu Kluster PUI Sivagangga, India.

Katanya, kes indeks kluster ini merupakan seorang pemastautin tetap yang telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 13 Julai 2020 (iaitu kes ke-8937).

“Saringan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif.

“Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) namun didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut dan di dalam tindakan pihak berkuasa.

“Saringan ulangan didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah,” katanya.

Susulan itu, tambah Dr Noor Hisham, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

“Sehingga 28 Julai 2020, 28 kontak rapat telah disaring. Daripada jumlah tersebut, lima dikesan positif Covid-19 dan 23 negatif.

“Kes indeks merupakan seorang pemilik kedai makan. Empat orang daripada kes positif dalam kluster ini adalah pekerja kedai tersebut yang merupakan bukan warganegara manakala seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks.

“Kesemua kes positif ini berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks. Premis yang dikenalpasti ini telah ditutup bagi proses pembersihan dan nyah kuman,” katanya. — DayakDaily