Calon pemimpin muda PBB untuk PRN12 terserah kepada KM, kata Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 28 Julai: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof menyerahkan kepada Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai pemimpin muda yang akan diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12.

“Adakah ramai pemimpin muda, itu kena tanya Ketua Menteri (Abang Johari) lah, saya tidak boleh menjawab bagi pihak Ketua Menteri,” katanya ketika menjawab soalan orang ramai yang menyaksikan sesi siaran langsung Facebook Abas Orang Kamek (AOK) bersama Menteri Kanan Kerja Raya semalam.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya bagaimana pun berharap pemimpin muda terbabit ketengahkan awal dan PBB biasanya memang akan ada pemimpin tersebut yang diketengahkan ketika pilihan raya supaya ada peratusannya adalah dikalangan orang muda.

Beliau berkata PBB juga perlu gabungan pemimpin itu terdiri dari golongan yang sudah lama berkhidmat dan berpengalaman dengan golongan yang muda.

“Tetapi yang penting sesiapa orang muda yang berminat jangan kita fikirkan hal mahu masuk parti sahaja, jangan nak masuk parti ini hanya untuk menjadi wakil rakyat, sebab wakil rakyat kerusinya terhad ada 82 sahaja di Sarawak dan tidak semua dapat menjadi wakil rakyat,” katanya.

Disamping itu, Fadillah juga meminta mereka mendaftar menjadi ahli Sarawak Volunteers yang boleh menjadi platform bagi sama berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.

“Pada masa yang sama ini juga akan mengasah bakat mereka dalam kepimpinan sebab kebanyakan yang menjadi pemimpin ini adalah mereka yang banyak terlibat dalam program kemasyarakatan dan membuat program sendiri bagi membantu orang,” katanya.

Beliau berkata ini menyebabkan orang ramai yang dibantu itu akan mengangkat mereka untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat dan bukan mereka yang mencalonkan diri sendiri sebagai wakil rakyat.

“Kebanyakan yang dipilih ini adalah mereka yang banyak terlibat dengan khidmat masyarakat sebelum ini dan banyak terlibat dalam perkara yang membuktikan mereka ada kemahiran dan pengalaman memberi khidmat masyarakat. Ini sebenarnya kriteria,” katanya.

Berikutan itu, beliau menasihatkan golongan muda yang berminat diketengah sebagai pemimpin supaya terlibat dalam persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menunjukkan keikhlasan memberi khidmat bakti mereka dan mungkin ada yang akan terpilih bertanding dari ramai yang mahu menjadi 82 wakil rakyat Sarawak. — DayakDaily