Covid-19: 95 pesakit pulih, satu kematian dicatatkan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 April: Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif berkait Covid-19 apabila jumlah pesakit yang pulih telah melebihi jumlah kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 95 kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 3,197 kes. Katanya, ia bersamaan 59.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Seperti trend kebelakangan ini, bilangan kes pulih dan discaj hari ini juga melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga 19 April, pukul 12 tengah hari, terdapat 84 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 5,389 kes.

“Seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan Malaysia merekodkan satu kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 89 kes, iaitu bersamaan 1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-89 (kes ke-4,769) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, iaitu kes ke-2,726. Beliau telah dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Johor, pada 13 April dan disahkan meninggal dunia pada 18 April, jam 6.49 petang,” katanya. — DayakDaily