Covid-19: 43 pelajar Malaysia pulang dari Indonesia, kluster baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 19: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan satu kluster baharu jangkitan Covid-19 telah dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan rakyat Malaysia yang pulang daripada Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 16 April 2020.


“Kluster ini terdiri daripada 43 pelajar yang pulang dari Temboro iaitu salah satu tempat yang telah diisytiharkan sebagai zon merah di daerah Megetan, Jawa Timur, Indonesia,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, kesemua pelajar tersebut iaitu seramai 34 orang telah dikuarantin di Melaka dan sembilan orang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Justeru katanya, ia menunjukkan bahawa tindakan kerajaan mengambil langkah untuk melaksanakan kuarantin dan melakukan saringan terhadap semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah satu langkah yang tepat.

“Setakat ini jumlah kes positif di kalangan mereka yang pulang dari luar negara adalah 65 kes iaitu tambahan kepada 17 kes yang telah diumumkan semalam.

“Ia melibatkan 43 kes daripada Magetan, tiga kes dari Acheh, satu kes dari Turki dan juga satu kes daripada Kalimantan,” katanya.

Pada sidang media yang sama, Dr Noor Hisham berkata KKM akan memulakan kajian klinikal bagi menguji keberkesanan dan keselamatan ubat remdesivir bagi merawat pesakit Covid-19 dalam masa terdekat.

Katanya, sembilan buah hospital yang mengambil bahagian dalam ‘solidarity trial’ anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah bersedia mengambil pesakit dikalangan pesakit Covid-19 yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

“Jawatankuasa etika dan penyelidikan perubatan telah bersidang dan bekerja rapat dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara KKM, meluluskan penggunaan ubat tersebut dalam kajian klinikal.

“Penilaian dibuat berdasarkan tiga aspek utama iaitu merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat tersebut berdasarkan data-data yang telah dikemukakan,” ujar Dr Noor Hisham.

Beliau berharap, penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia itu akan dapat membantu mencari ubat yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19. — DayakDaily