Covid-19: 660 kes positif dan 4 kematian hari ini

graf status terkini Covid-19 (13 Okt) Kememterian Kesihatan Malaysia
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 OKTOBER : Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan bahawa sebanyak 660 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi membabitkan 654 kes penularan tempatan dan 6 kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 17,540 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 5,768 kes.

Advertisement
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 233 kes pulih dilaporkan hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 11,605 kes bersamaan 66.16 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media hari ini.

Selain itu katanya, hingga kini ada 108 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dimana 35 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Ujar beliau lagi, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan(CPRC) terdapat empat kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 167 kes atau 0.96 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, kes ke-164 ialah seorang lelaki berumur 80 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan gout. Beliau meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.

“Kes ke-165 ialah seorang wanita berusia 63 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis. Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizebeth.

“Kes kematian ke-166 pula membabitkan wanita berusia 73 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

“Manakala kes kematian ke-167 pula melibatkan wanita berusia 47 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi. Beliau meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,’katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa KKM hari ini telah mengenalpasti satu kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster Kencana.

Kluster Kencana melibatkan daerah Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak di Selangor, Cheras di Kuala Lumpur serta Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian di Johor.-DayakDaily

Advertisement