Covid-19: 4 kematian baharu termasuk seorang bayi

Covid-19 file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Okt: Empat kematian Covid-19 direkodkan hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 141 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia bersamaan dengan 1.04 peratus daripada jumlah keseluruhan 13,504 kes.


“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

“Kes kematian ke-138 (iaitu kes ke-11,154) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September 2020.

“Saringan Covid-19 didapati positif pada 26 September 2020. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, kes kematian ke-139 (iaitu kes ke-12,431) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun.

Katanya, kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September 2020 dan saringan Covid-19 didapati positif pada 30 September 2020.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 5.05 pagi.

“Kes kematian ke-140 (iaitu kes ke-12,432) merupakan bayi lelaki warganegara Malaysia berumur satu tahun.

“Kes dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober 2020 dan keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang,” ujar beliau.

Manakala bagi kes kematian ke-141 (iaitu kes ke-13067), Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun.

Kes tersebut, ujar beliau, mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental.

“Kes ditemui tidak sedar diri pada 5 September 2020, jam 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang.

“Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 September 2020 jam 7.50 pagi. Saringan Covid-19 dikesan positif.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” kata Dr Noor Hisham. — DayakDaily