Covid-19: 691 kes baharu dengan 4 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Okt: Malaysia terus mencatatkan kes positif Covid-19 baharu tertinggi setakat ini dengan 691 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 688 kes penularan tempatan dan tiga kes import.


Perincian bagi kes import, katanya, membabitkan seorang warganegara yang balik dari India (Kuala Lumpur) dan dua bukan warganegara membabitkan individu balik dari Mesir (Kuala Lumpur) serta individu balik dari Filipina (Selangor).

Manakala daripada 688 kes penularan di dalam negara, 661 kes membabitkan warganegara Malaysia dan 27 kes adalah bukan warganegara.

ā€œIni menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini adalah 13,504 kes. Lebih separuh jumlah kes iaitu 394 kes dari Kluster Tembok, Kedah yang mana kesemua mereka terasing dari orang awam.

ā€œJusteru, risiko penularan jangkitan amat rendah dan terkawal. Di Sabah pula, 219 kes dari zon merah iaitu kawasan PKPB secara pentadbiran.

ā€œDengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 2,936 kes,ā€ katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Penularan Covid-19 dalam negara tertinggi direkodkan di Kedah (397 kes) diikuti Sabah (219 kes) dan Selangor(38 kes).

Penularan wabak itu di negeri lain, antaranya Perak (8 kes), Negeri Sembilan (7 kes), Johor (6 kes), Kuala Lumpur (4 kes), Sarawak (3 kes), Pulau Pinang (3 kes), Terengganu (1 kes), Putrajaya (1 kes) dan Labuan (1 kes).

Sementara itu, tambah Dr Noor Hisham, kes sembuh direkodkan berjumlah 87 kes menjadikan jumlah kes pulih adalah 10,427 kes.

Katanya, setakat ini terdapat 31 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lapan kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat empat kes kematian baharu direkodkan sekaligus menjadikan jumlah kematian meningkat ke 141 kes. ā€” DayakDaily