Covid-19: 4 individu pulih dan 16 kes baharu dengan 2 kluster baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Julai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat empat kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 8,566 kes.


Katanya, ia bersamaan 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 22 Julai 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat 16 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,831 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 142 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, daripada 16 kes baharu, lapan adalah penularan tempatan manakala lapan kes import yang melibatkan 11 warganegara dan empat bukan warganegara.

“Sehingga kini terdapat lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 123 kes iaitu bersamaan dengan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut memaklumkan bahawa hari ini KKM telah mengenal pasti dua kluster baharu iaitu kluster Hyde Park dan kluster PUI Melbourne. — DayakDaily