Covid-19: 3,297 kes baharu dan 4,456 pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 21 Feb: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 3,297 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 3,291 kes tempatan dan enam kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 283,569 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 33,304 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Perak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,215 kes. Ini diikuti oleh Selangor dengan 868 kes dan Johor dengan 431 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 4,456 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 249,209 kes atau 87.88 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 209 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 91 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,056 kes.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing dua kes masing-masing di Selangor dan Terengganu, serta satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sebanyak empat kes kematian melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat enam kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini dan kesemua kluster adalah berkaitan tempat kerja. — DayakDaily