Covid-19: 2,176 kes baharu, 4,521 pulih serta 10 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 15 Feb: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 2,176 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 2,175 kes tempatan dan satu kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 266,445 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 47,135 kes,” katanya menerusi satu kenyataan.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 910 kes. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 269 kes dan Sarawak sebanyak 246 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 4,521 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 218,335 kes atau 81.9 daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 260 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 112 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 10 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 975 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan lima kes di Selangor, dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta masing-masing satu kes di Sabah, Johor dan Perak.

“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,”ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 10 kluster berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster melibatkan komuniti, pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi. — DayakDaily