Covid-19: 169 kes pulih dan discaj, 2 kali ganda daripada kes baharu-Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham fielding questions from the press. Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 15:Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) memaklumkan pertambahan 169 kes pulih sepenuhnya Covid-19 dan dibenarkan discaj di negara ini setakat 12 tengah hari Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan didiscaj dari wad meningkat kepada 2,647 kes.


Katanya, ia bersamaan 52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 15 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 85 kes baharu yang telah dilaporkan, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,072 kes.

“Sebanyak 56 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Sehubungan dengan itu tambah Dr Noor Hisham, bilangan kes yang discaj hari ini hampir dua kali ganda dari kes baharu Covid-19 yang dilaporkan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan Malaysia merekodkan satu kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 83 kes, iaitu bersamaan 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-83 (kes ke-4,988) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 21 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 15 April 2020 jam 6.41 pagi,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, setelah sebulan pelaksanaan PKP Fasa 1 dan 2, trend jumlah kes baharu positif Covid-19 sedikit terkawal tanpa kenaikan mendadak.

Menurut beliau, jumlah kes harian didiscaj daripada wad meningkat saban hari dan ini menunjukan kemajuan yang memberansangkan hasil pelaksanaan PKP.

Fasa 3 PKP berkuatkuatkuasa hari ini 15 April sehingga 28 April.—DayakDaily