Covid-19: 16 kes positif baharu dengan 12 kes penularan tempatan dan 4 kes import

Dr Noor Hisham Abdullah. (gambar fail)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 16 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ia melibatkan 12 kes penularan dalam negara dan 4 kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,235 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 185 kes,’katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, semua 12 kes penularan dalam negara adalah melibatkan warganegara.

Manakala 4 kes import pula melibatkan bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 23 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,925 kes atau 96.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 7 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU)dan 3 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.—DayakDaily