Tiada jalan keluar untuk suspek pecah masuk di Miri

Suspek ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Ogos: Cubaan seorang lelaki tempatan bersembunyi di dalam sebuah kuarters guru tidak berpenghuni di Taman Tunku selepas disyaki memecah masuk ke dalam bangunan berkenaan petang ini gagal, apabila dicekup orang ramai yang kemudiannya menghubungi polis.

Menurut sumber, suspek bersama seorang lagi rakannya dipercayai telah masuk ke rumah berkenaan sebelum kehadiran mereka disedari jiran sebelah rumah awal pagi tadi sekitar jam 7 pagi.


Dipercayai kedua-dua suspek sempat bermalam di dalam rumah berkenaan sebelum kehadiran mereka disedari salah seorang jiran berdekatan selepas terlihat kepulan asap dan api marak keluar dari rumah tersebut.

Risau sesuatu yang buruk mungkin berlaku, jiran berkenaan segera masuk ke arah rumah kosong itu untuk memeriksa punca asap dan api marak yang dilihatnya pada pagi itu.

Namun, penemuan dua lelaki di dalam rumah berkenaan mengejutkan pengadu, yang seterusnya menjerit meminta tolong jiran-jiran yang lain.

Walau bagaimanapun, rakan suspek telah berjaya meloloskan diri sebaik sahaja orang awam tiba ke lokasi.

Suspek yang tertinggal telah cuba bersembunyi di dalam kuarters tersebut, sebelum pihak polis tiba.

Suspek kini sedang ditahan di Balai Pusat Polis Miri untuk siasatan lanjut. — DayakDaily