Covid-19: 1,349 kes baharu dan 2 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 4 April: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,349 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,342 kes tempatan dan tujuh kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 350,959 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,509 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarawak melaporkan jumlah kes harian baharu tertinggi dalam Malaysia iaitu sebanyak 419 kes diikuti oleh Selangor dengan 343 kes dan Pulau Pinang dengan 185 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,270 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 335,162 kes atau 95.50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 186 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 94 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,288.

“Terdapat dua kes kematian pada hari ini melibatkan Sabah dan Sarawak. Kedua-dua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

KKM juga memaklumkan terdapat 10 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan lima kluster kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan satu kluster pusat tahanan. — DayakDaily