Covid-19: 13 kes positif baharu dengan 9 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Ogos: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 13 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ia melibatkan empat kes penularan dalam negara dan sembilan kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 9,083 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 174 kes,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Dr Noor Hisham, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak sembilan kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,784 kes atau 96.71 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat satu kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),”katanya.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, terdapat dua buah kluster baharu yang telah dikenalpasti hari ini iaitu Kluster Kurau di Pulau Pinang dan Kluster Meranti di Selangor. — DayakDaily