Covid-19: 13 kes baharu dengan 5 kes pulih

Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 JULAI: Sebanyak 13 kes positif baharu Covid-19 dalam negara dilaporkan hari ini melibatkan 5 kes penularan tempatan dan 8 kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 8,956 kes.


Dengan itu katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 220 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 13 kes baharu yang dilaporkan, 8 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 4 warganegara Malaysia dan 4 bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Lapan kes import tersebut adalah dari negara United Kingdom (2 kes ), India (2 kes), Filipina (1 kes), Pakistan (1 kes), Gambia (1 kes) dan Ukraine juga satu kes.

“Daripada 5 kes penularan di dalam negara, 3 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan 2 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 124 kes.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 5 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,612 kes atau 96.16 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 2 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) dan 1 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.—DayakDaily