Covid-19: 1,208 kes baharu dan 3 kematian

Dr Noor Hisham Abdullah. (gambar fail)

KUCHING,  15 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,208 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,199 kes tempatan dan 9 kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 324,971 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 15,511 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 379 kes. Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 251 kes dan Pulau Pinang sebanyak 142 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,973 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 308,247 kes atau 94.86 peratus daripada  jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 155 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 70 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 1,213 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing satu kes di Selangor, Johor dan Sarawak.

“Kes kematian ini melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,”ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan 12 kluster tempat kerja dan satu kluster keagamaan. — DayakDaily